Thursday, July 22, 2010

Rintihan Dari Hidro Bakun

Salam 1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Aku sokong gagasan PM Dato Seri Najib - gagasan untuk seluruh Malaysia. Tapi, di Sarawak gagasan tersebut nampaknya tak seperti yang diharapkan. Aku lihat sebaliknya sedang berlaku. Kalau Najib kata, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Di Sarawak ia berlaku seperti - 1Sarawak, Kaum-Keluarga Didahulukan, Kuncu-Kroni Diutamakan.

Jom kita bincang isu projek hidro Bakun. Projek hidro yang terbesar di Asia Tenggara terletak betul-betul di tengah pulau Borneo. Penduduk yang tak nak pindah masa perpindahan penduduk dari Sungai Balui ke Sungai Asap pada tahun 1998 untuk beri laluan kepada projek hidro Bakun telah dilabel dan dikecam hebat oleh orang-orang tertentu sebagai “anti-kerajaan.” Ramai yang cuba champion dan tonjol diri untuk hentam orang tertentu bertujuan unruk raih perhatian dan mendapat habuan dari pihak yang berpengaruh dan berkuasa. Mereka inilah yang tergolong dalam kuncu dan kroni diutamakan dalam sistem politik 1Sarawak, Kaum-Keluarga Didahulukan, Kuncu-Kroni Diutamakan.

Pada ketika ini terdapat sekitar 450 hingga 600 orang daripada 15 buah rumah panjang yang tak mahu pindah ke penempatan baru di Sungai Asap. Jumlah bilangan tersebut mungkin lebih besar dan angka di atas adalah anggaran kasar saja. Mereka yang tak pindah seperti di atas boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama, ialah kumpulan yang sememangnya langsung tidak berpindah dan menolak gesaan kerajaan Sarawak untuk berpindah pada tahun 1998.

Sedangkan kumpulan kedua ialah mereka yang telah berpindah ke Sungai Asap tetapi kembali semula ke  tempat asal mereka di Sungai Balui atas banyak sebab. Mereka juga terus mendiami Sungai Balui sehingga sekarang seperti juga kategori pertama tadi. Senario kategori kedua di atas membuktikan bahawa mereka bersetuju pindah ke Sungai Asap pada tahun 1998 adalah semata-mata kerana pujukan dan rayuan manis pihak berkuasa, tetapi kembali semula ke Sungai Balui kerana hampa. Ini sekali gus membuktikan janji yang ditabur sebelum perpindahan dahulu belum lagi ditunaikan oleh kerajaan negeri. Isu-isu dan masalah semasa yang dibangkitkan kepada pihak berkuasa juga tidak diambil berat walaupun beberapa orang menteri telah pergi ke Sungai Asap tetapi masalah utama yang menjadi isu rakyat tidak juga dapat diselesaikan. Sewaktu pilihanraya kecil Sibu yang lalu di mana Penerbit Galeri Perdana bahagian Mandarin RTM menerbitkan masalah yang dihadapi oleh rakyat di penempatan baru di Sungai Asap dan tiba-tiba saja ianya dihentikan siarannya tanpa alasan. Sekali lagi kerajaan tidak peka dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat dari akar umbi. Melaung dari pentas ucapan adalah mudah tetapi merealisasikannya dengan tindakkan adalah payah. Suara-suara insan yang kerdil itu masuk tong sampah pihak berkuasa tanpa diendahkan.

Bagi kategori pertama, mereka tak mahu pindah kerana masing-masing ada alasan tersendiri. Apa yang nyata ialah mereka memzahirkan rasa tidak puas hati mereka ke atas pampasan yang dibayar oleh kerajaan terhadap tanah, kebun, rumah dan lain-lainnya kepada mereka.

Di Semenanjung, bila bumiputera Melayu atau Orang Asli terlibat dalam projek pembangunan di mana tanah mereka diambil, jumlah pampasan amat jauh besar dan berpatutan dan dibela oleh orang-orang UMNO. Di Sarawak, apa yang bumiputera dan peribuminya dapat ? Setahu aku, yang mereka dapat hanyalah rintihan dan keluhan. Tak ada siapa yang sudi mendengar keluhan mereka. Kalau adapun, para pemimpin yang pergi menjenguk mereka kebiasaanya hanya menabur janji yang belum pasti dan rakyat akan tunggu-tunggu ibarat menunggu yang tak kunjung tiba. Tak ada siapa yang betul-betul sudi membela dan membantu. Tapi apabila bermain politik, terutama menjelang pilihanraya, orang-orang politik ini mengeluarkan ungkapan-ungkapan menarik dan manis-manis belaka untuk meraih sokongan.

Aku ambil petikan dari surat akhbar The Star pada 2hb Jun 2010 di bawah tajuk “Bakun area cleared at last”. Menteri Pembangunan Tanah atau dalam bahasa Inggerisnya Land Development Minister tersebut berkata, “The last 35 families affected by the Bakun hydroelectric dam project in the upper Rajang River basin have finally agreed to be resettled.” Selanjutnya menteri berkenaan berkata lagi, “the government would compensate the 35 families if they had land and crops in the dam area.”

Hah !! Nak bayar pampasan kononnya. Sedangkan banyak pampasan pada tahun 1998 sehingga ke hari ini belum lagi selesai. Masih terlalu banyak pampasan-pampasan dan hak mutlak rakyat peribumi belum lagi diberi dan dibayar sewajarnya. Aku suruh menteri berkenaan check dengan Land And Survey Sarawak dahulu. Suruh bayaran dibuat dengan segera. Buat apa tangguh-tangguh. Oi ! tau-taulah. Ini dekat pilihanraya. Pada tahun 1998 dulu, taktik yang sama juga dipasang untuk memerangkap rakyat peribumi supaya mereka mahu pindah ke penempatan baru.

Aku suka buat bandingan. Di Semenanjung ada FELDA.. Di Semenanjung ada UMNO. UMNO dan FELDA cukup baik dan berjaya membawa orang Melayu maju ke depan. Tapi apa yang PBB dan PRS dapat buat untuk bela bumiputera Sarawak. Bila PM Najib kata dan bangga kerana perkenal konsep 1Malaysia, pemimpin politik Sarawak tidak mahu kalah dan tak nak terima konsep Najib dengan hati yang terbuka. Tau apa mereka kata. “Ah ! Kami kat Sarawak dah lama amal konsep 1Malaysia. Kaedah dan cara aja tak sama.” Hah ! Aku dah nak mabuk dengar semua tu. Semua tu dusta dan reutorik politik belaka. Itulah gaya style politik orang Sarawak. Mereka pantang melihat orang Semenanjung tonjol lebih daripada mereka.

Berbalik pada isu hidro Bakun. Sebulan yang lalu para penduduk yang tak pindah dari Sungai Balui telah menerima surat dari Jabatan Tanah dan Survei, Kerajaan Negeri Sarawak, meminta mereka pindah ke kawasan yang selamat dan tidak dibenarkan mendiami kawasan takungan empangan itu, kerana dalam masa terdekat ini tempat mereka itu akan ditenggalami oleh air kerana projek hidro Bakun telah siap sepenuhnya.

Nah ! Sepatutnya inilah masanya Yang Berhormat dan menteri-menteri bumiputera dan dayak tunjuk champion dan tonjolkan diri dengan menghulurkan belaan kepada peribumi Sarawak yang mendiami Sungai Balui. Setahu aku belum pernah pun yang berpangkat menteri baik dari persekutuan mahupun dari kerajaan negeri datang menjenguk dan melihat sendiri keadaan mereka sama seperti apa yang dilakukan oleh pemimpim-pemimpin UMNO terhadap bumiputera Melayu di Semenanjung. Apakah ada pemimipin bumiputera dan dayak sudi melakukan itu ? Kalaupun betul pampasan nak diberi, apakah ianya setimpal dan adil ? Sebelum kerajaan meminta mereka berpindah ke tempat yang selamat, pihak kerajaan harus membayar mereka pampasan terlebih dahulu. Mereka tidak minta lebih kuah dari nasi. Apa yang mereka pinta ialah supaya kerajaan membayar pampasan rumah yang mereka diami dan kebun yang mereka usahakan selama ini, kerana mereka memerlukan wang untuk membina rumah yang baru di tempat mereka pindah itu nanti.

Kalau konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan betul-betul diamalkan, maka dengarlah rintihan dan tangisan penduduk peribumi yang telah mengalami banyak kepedihan sepanjang perlaksanaan projek mega itu. Pembinaan projek itu begitu gah di mata dunia tetapi suara-suara insan kerdil seperti mereka tidak pernah diambil penduli. Jangan kerajaan (kerajaan negeri) terlepas pandang terhadap mereka, kerana mereka juga adalah sebahagian daripada raykat Malaysia, walau di mana dan apa kefahaman politik mereka pegang kerana selama ini mereka tidak pernah menyusah, menggangu dan menggugat pembinaan projek hidro tersebut.

Apa yang mereka pinta supaya kebajikkan mereka dijaga kerana ungkapan itulah yang sering dilaung-laungkan oleh PM. Maka dari itu mereka ingin melihat dan merasai sendiri kebenaran ungkapan itu. Mereka yang tinggal di hulu sungai ini hanya bergantung hidup pada hasil tanaman padi bukit yang diusahakan secara kecil-kecilan dan hasil buruan untuk meneruskan kehidupan mahupun buat pembelanjaan anak-anak yang masih bersekolah.

Adalah malang bagi rakyat yang masih tinggal jauh di pedalaman yang kebajikkan mereka tidak diambil kira oleh kerajaan. Bagaimana mungkin kerajaan inginkan rakyatnya berpendapatan tinggi sedangkan cara pertanian yang dijalankan masih menggunakan cara tradisional. Bagaimana mungkin kerajaan dan PM Najib nak melihat pendapatan per perkita dari US$7000.00 ke US$15000.00 kalau 1Sarawak, Kaum-Keluarga Didahulukan, Kuncu-Kroni Diutamakan terus menjadi amalan. Anak-anak muda yang berkerja dengan kem pembalakkan juga akan hilang sumber pendapatan kerana kem tempat mereka bekerja juga akan ditenggalami air. Semua ini harus diambil kira oleh kerajaan.

Harapan mereka ialah agar kerajaan dengar masalah rakyatnya tanpa ada pihak yang cuba mempolitikkan masalah semasa. Janganlah bersikap sambil menyelam meminum air atau harapkan pagar, pagar makan padi, iaitu salah satu unsur yang terdapat dalam sistem 1Sarawak. Bila lagi konsep 1Malaysia diamalkan ?