Tuesday, February 8, 2011

SANG KUCING DAN SANG TIKUS

Kali ini kita berhibur lagi dengan cerita-cerita rakyat dari suku kaum masyarakat Kayan yang  terdapat di daerah Belaga, Sarawak.
Di sebuah kampong, tinggallah seekor tikus betina yang bernama Doh Lavo bersama dengan keluarganya. Pada suatu hari, dia telah melahirkan lima ekor anak. Dia juga turut mempunyai seekor anak yang lebih tua yang dipanggil Lavo Uk. Selang beberapa lama setelah melahirkan anak itu, tiba-tiba Doh Lavo mendapati kelima-lima ekor anaknya itu jatuh sakit. Kelima-lima ekor anaknya itu masih kemerah-merahan dan suhu badan mereka terlalu panas. Doh Lavo amat risau dengan keadaan anaknya itu.
       “Apa yang harus aku buat ni ?” Katanya. Berfikir-fikirlah dia dan tiba-tiba terlintas di benak fikirnya untuk memanggil Doh Cieng, iaitu seekor kucing betina yang tinggal tidak jauh dari keluarganya di situ. Memikirkan Doh Cieng, dia pun memanggil anaknya Lavo Uk.
      “ Pergilah kamu segera berjumpa emak cik kamu Doh Cieng tu. Mintalah dia segera datang ke sini. Emak nak suruh dia tolong dayung adik-adik kamu yang sakit tu. Tengoklah badan mereka tu sangat panas.” Kata Doh Lavo.
Sebaik Lavo Uk menerima arahan emaknya itu, dia pun segera beredar pergi menuju ke rumah Doh Cieng. Sebaik tiba di rumah Doh Cieng, dia memerhati Doh Cieng itu sedang makan dengan lahapnya dalam biliknya di situ. Lavo Uk amat ketakutan untuk mendekati Doh Cieng yang sedang makan dengan lahap itu. Cara pergerakan perjalanannya pun sesekali ke depan dan sekejap pula berundur ke belakang. Fikirannya amat bercelaru kerana ketakutan. Doh Cieng yang sedang makan itu menyedari kehadiran Lavo Uk di situ.
       “ Kamukah itu Lavo Uk. Kenapa pula kamu takut mendekati aku. Kamu nak berjumpa dengan akukah ? Kalau ada apa-apa yang nak kamu kata, katakanlah. Janganlah takut.” Kata Doh Cieng. Mendengar kata Doh Cieng itu, lega juga hatinya lalu dia memberanikan diri mendekati Doh Cieng itu.             
      “ Emak cik, saya datang ni kerana nak menjemput emak cik pergi dayung adik-adik saya yang sedang deman panas di rumah. Emak sayalah yang menyuruh saya datang memberitahu dan berjumpa dengan emak cik.” Kata Lavo Uk memberitahu Doh Cieng.
      “ O Begitu. Tunggulah dulu. Aku masih makan ni. Setelah aku makan nanti, aku nak pergi beri makan anjing dan ayam aku pula. Setelah itu, barulah aku datang. Kamu beritahulah emak kamu tu dan suruhlah dia menyediakan tawak dan barang keperluan lain untuk upacara dayung tu sebelum aku tiba. Apabila aku tiba nanti, aku akan terus dayung sahaja.” Kata Doh Cieng. Mendengar kata Doh Cieng itu, Lavo Uk pun beredar pulang ke rumah. Doh Lavo yang melihat anaknya datang tanpa Doh Cieng itu langsung bertanya,
      “ Kenapa Doh Cieng tak datang bersama kamu ?” Katanya.
      “ Nantilah dia datang emak. Katanya, dia nak beri makan anjing dan ayamnya dahulu. Dia menyuruh emak supaya menyediakan keperluan upacara dayung itu sekarang juga. Bila dia tiba nanti, dia akan terus dayung.” Kata Lavo Uk memberitahu ibunya.
Tidak lama sesudah itu, kelihatanlah Doh Cieng itu berlari dengan kencang menuju ke rumah Doh Lavo itu.
     “ Inilah peluang aku. Habislah kau Doh Lavo.” Kata hati kecilnya. Sebaik Doh Cieng itu berada dalam bilik, Doh Lavo pun terus mengambil semua perkakas keperluan untuk upacara dayung itu.
     “Nah ! Cepatlah, aku nak dayunglah ni.” Kata Doh Cieng.
     “Tunggulah dulu. Jangan terus saja dayung. Makan dahulu barulah kamu dayung.” Kata Doh Lavo kepada Doh Cieng. Diam sahaja Doh Cieng tidak berkata apa-apa.
    “ Baik juga tu.” Kata hati kecil Doh Cieng pula. Setelah makanan dihidangkan, maka makanlah dia. Sebaik selesai makan, berkata pula Doh Cieng,
    “ Nah, aku nak mula dayunglah ni.” Katanya. Mulalah dia dayung. Beginilah bunyi dayungnya.
    “Ji lavo kah putah putaen uvaen, nyepulid nah avud engaen. Doh Lavo pah putaed uvang-uvang, nyekulid nah avud barang. Doh Lavo pah uhud-uhud, nyekulid pah avud sud.” Kata suara dayung Doh Cieng itu.
       “ Doh Lavo, kau datanglah sini dulu.” Kata Doh Cieng sambil menyambung katanya itu lagi.
      “ Kalau kamu mendengar bunyi suara dayung aku tu cepat dan laju nanti, itu bererti aku nak mengambil roh-roh anak kamulah tu.” Katanya lagi kepada Doh Lavo yang duduk dekat di situ.
      “Kamu kumpullah anak-anak kamu tu dan bawa dekat dengan aku di sini dan setelah itu, kamu padamlah lampu pelita tu. Itulah cara aku dayung nak mengambil roh-roh mereka.” Kata Doh Cieng itu lagi menyuruh Doh Lavo itu.
Sebaik Doh Lavo melakukan arahan Doh Cieng itu dan lampu telah dipadamkan, dengan cepat Doh Cieng itu menyambar anak-anak Doh Lavo itu dalam suasana gelap itu lalu memakan mereka di situ juga. Setelah semua anak Doh Lavo itu dimakannya, melompatlah Doh Cieng lari dari situ tanpa disedari oleh Doh Lavo. Doh Lavo yang tidak menyangka apa-apa perkara buruk yang berlaku terhadap anaknya itu, cuba menyalakan lampu pelita itu semula kerana disangkanya sudah selesailah upacara dayung tersebut. Sebaik lampu sudah dinyalakan, Doh Lavo tadi melihat di sekeliling, dan alangkah terperanjatnya dia mendapati semua anak-anaknya sudah tiada. Dilihatnya di atas lantai di situ, kelihatanlah darah berlumuran di situ menunjukkan yang anaknya itu telah dimakan oleh Doh Cieng itu.
      “ Aduh ! Habislah aku. Kenapalah aku ni sangat bodoh.” Katanya menangis niro tidak berhenti-henti di situ. Dalam tangisannya niro anaknya itu, berkatalah dia,
      “ Akuikah alaeng bulieng nyaro...bunu kui kah bu ango. Akuikah alaeng bulieng nyaro.....bunu kui kah ika’ ja cieng.” Kata bunyi suara tangisan niro Doh Lavo itu lagi. Doh Lavo itu telah bernekad dalam hatinya yang Doh Cieng itu adalah musuh ketatnya sepanjang hidup. Apa tidaknya, semua kelima-lima ekor anaknya itu telah dimakan oleh Doh Cieng. Doh Lavo pun bodoh. Dia sememangnya mengetahui yang Doh Cieng itu ingin mengambil kesempatan untuk memakan anak-anaknya itu, tetapi dia tetap juga memanggil Doh Cieng datang untuk dayung anak-anaknya itu. Tersangatlah menyesal Doh Lavo itu memikirkan perbuatan bodohnya itu.

Namun begitu, Doh Lavo tetap bersyukur juga kerana anaknya yang seekor, Lavo Uk masih hidup. Ketika upacara dayung itu tadi, Lavo Uk sempat menyembunyikan diri dan terselamat daripada terkaman Doh Cieng itu. Begitulah kesah Doh Lavo dan Doh Cieng. Layari http://www.folkloreceritarakyat.lot.my untuk mendapatkan cerita yang mengasyikkan.