Tuesday, May 17, 2011

Eira Syazira Dimadukan


by Miss Farra

Selepas muncul dengan watak bertudung dalam beberapa buah drama sebelum ini, pelakon cantik Eira Syazira kini menjadi ustazah pula. Itu adalah watak terbaru yang diberi oleh pengarah, Haris Fadzilah untuk drama bersiri terbaru “Bait Cinta” di TV9. Walaupun karakter yang diberi dalam drama Ustaz Amirul agak sama dengan karakter untuk drama “Bait Cinta”, ternyata dalam drama terbaru di TV9 ini mempunyai kelainan yang tersendiri.

“Dalam drama Ustaz Amirul, saya menjadi seorang wanita bertudung yang baik. Tetapi untuk drama Bait Cinta ini, saya adalah seorang ustazah yang membimbing suami ke jalan yang benar. Karakter itu nampak lebih kurang sama, memerlukan saya untuk bertudung dan menjadi wanita yang baik. Tetapi sebenarnya, ia amat berbeza kerana saya berhadapan dengan konflik yang berat untuk drama “Bait Cinta” ini,”

 “Bait Cinta” berkisarkan tentang pergolakan perasaan akibat poligami. Dalam pertemuan di majlis pelancaran drama “Bait Cinta” yang diadakan di Theaterette, Sri Pentas, baru-baru ini, Eira menceritakan dengan ringkas wataknya sebagai Anna yang sanggup berkorban untuk dimadukan. Malah, ketika ditanya jika poligami terjadi atas dirinya, Eira memberitahu dia redha jika itu kehendak Illahi.

“Bait cinta” adalah satu kisah pergolakan perasaan yang mana saya perlu berkongsi suami. Dalam drama ini, saya sebagai Anna, merupakan isteri pertama kepada Hazri. Selain itu, terdapat banyak lagi konflik yang perlu saya tempuhi sebagai isteri pertama.”

“Kalau ditanya pada semua wanita, pasti semua tidak dapat menerima hakikat dimadukan. Tetapi bagi saya, saya minta sangat Allah jauhkan, kalau boleh saya tidak mahu. Tetapi, jika mempunyai sebab yang relevan seperti dalam drama “Bait Cinta” ini, mungkin saya boleh terima jika tiada pilihan. Saya akan menggangap itu adalah takdir tuhan,” ujar Eira sempat memberitahu bahawa dia tidak kisah digelar ratu air mata.

“Memang saya perasan, ramai mengatakan bahawa saya banyak diberi watak yang sedih dan memerlukan saya untuk selalu menangis. Saya tidak kisah malah saya selesa membawakan watak sebegitu kerana bagi saya watak air mata lah paling sesuai untuk saya. Walaupun pernah diberi watak antagonis dan komedi sebelum ini, saya akui watak sebegitu sudah sebati dengan jiwa saya.”

Umum mengetahui perhubungan cinta di antara pelakon berusia 27 tahun ini dan pelakon anak mami, Azad Jazmin. Ini memberi kesempatan kepada Gua bertanyakan perihal samada Eira mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Setakat ini, saya belum lagi membuat perancangan apa-apa untuk berkahwin. Siapa yang tidak mahu mendirikan rumah tanggan kan, saya akui saya pun ada keinginan yang sama. Doa-doakan lah semoga jodoh saya lebih cepat.”

Saksikan Eira Syazira dalam Drama Bait Cinta yang  bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam bermula 17 Mei ini di TV9.
-- Gua.Com.my

No comments: