Wednesday, July 13, 2011

Konsert RM1 Juta Ning

120buah lagu, 11 buah filem dan 11 buah album dalam tempoh 18 tahun, itulah bukti betapa figura yang terkenal dengan vokal soprano, Ning Baizura bukan calang-calang bintang.
Selepas menyepikan diri sekian lama, Ning kini muncul semula berdepan peminatnya bersama album yang ke-12 diberi judul Dewa hasil kolaborasi syarikat miliknya Happenings dan Satu Entertainment milik komposer Audi Mok.

Merujuk kepada interpretasi cahaya dalam bahasa Sanskrit selari dengan perubahan baharu hidupnya bergelar seorang isteri dan ibu, Dewa memuatkan lapan buah lagu baharu berkonsepkan balada, pop, elektro dan dance.
Mama Papa, Raksasa dan Bila antara lagu yang makin kerap diputarkan di corong radio. Termasuklah juga beberapa lagu lain yakni Propaganda yang liriknya ditulis sendiri oleh Ning, selain Alhamdulillah, Sampai, Pencarian dan Aku Bukan Dewa.
Sebulan berlalu setelah album yang dibikin dalam tempoh tujuh tahun dikeluarkan di pasaran tempatan dan hasilnya cukup memuaskan hatinya.
“Album ini ibarat seorang anak yang sepatutnya telah lama dilahirkan, tapi kesabaran menunggu itu sebenarnya kepuasan sebenar bagi saya.
“Ini komitmen saya dan tidak adil bagi seorang artis yang lama bertapak tidak keluarkan album. Alhamdulillah, setakat ini respons yang diterima sangat bagus namun saya akan tetap menerima hakikat jika album ini tidak mencapai sasaran seperti yang saya impikan,” bicaranya yang ditemui selepas majlis pelancaran album Dewa di Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini.
UK dan AS
Dalam pada itu, Ning yang kini dalam proses persediaan menjelang konsertnya pada 2 dan 3 Disember, di KL Life Centre, Kuala Lumpur mencuba pendekatan baharu untuk menimba lebih banyak ilmu demi kejutan buat peminatnya.
Justeru, Ning sanggup merantau ke United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menonton konsert artis-artis antarabangsa yang berskala tinggi demi mencari idea baharu.
“Insya-Allah pada 21 Julai ini saya bersama suami (Omar Sharif) akan menyaksikan konsert Celine Dion di Scissor Palace, Las Vegas,” ujarnya teruja.
Tambah pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu juga, tiket untuk menyaksikan persembahan itu sebenarnya satu kejutan yang diberikan suaminya sempena hari jadinya yang ke-36 pada 28 Jun lalu.
Menurut Ning, untuk konsertnya yang dijangka memakan kos sehingga RM1 juta itu juga, dia akan menekankan kualiti teknikal seperti bunyi dan pencahayaan demi menjamin kepuasan kepada peminatnya.
Oleh itu, Ning juga akan menyaksikan beberapa persembahan akrobatik untuk melihat dan mengenal pasti aksi lagak ngeri yang mungkin boleh digunakannya dalam konsertnya itu kelak.
Ning Live In Concert merupakan sebuah persembahan berskala penuh yang bakal menggunakan khidmat penyanyi latar, penari dan 12 orang pemuzik.
Sambutan Aidilfitri
Sementara itu, Ning turut meluahkan keterujaannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga suaminya sepanjang satu setengah bulan berada di sana.
Tahun lepas saya ke sana pada bulan puasa saja, tapi tahun ini merupakan pertama kali saya akan beraya di rantau orang,” katanya yang turut merancang untuk mengadakan konsert amal di UK pada bulan Mac tahun depan.
Ujarnya, konsert amal untuk mengumpul dana pertubuhan Make A Wish itu akan dilaksanakan di lokasi yang mempunyai ramai penduduk Malaysia antaranya di London, Manchester dan Nottingham.
“Hasil sumbangan daripada konsert itu akan disalurkan terus ke pertubuhan Make A Wish khusus membantu kanak-kanak yang kurang upaya dan mempunyai peluang tipis untuk hidup.
kosmo.com.my


Save on hotels with HotelsCombined.com



“Dalam konsert itu saya akan menyanyi beberapa buah lagu dan pada masa yang sama dapat juga beramah mesra dengan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana,” tuturnya penuh bersemangat.

No comments: