Tuesday, October 19, 2010

CERITA RAKYAT: UVAEN BATOG

Kali ini, kita berhibur pula dengan Sebuah kisah dan legenda etnik Kayan. Kisah tersebut bertempat di hulu sungai Batang Kayan iaitu apa yang kita panggil Kalimantan Timur, Indonesia, sekarang. Pada zaman dahulu jika seseorang itu terketawa atau mengetawakan apa sahaja benda, dia akan bertukar menjadi batu.Untuk pengetahuan umum, adat dan kepercayaan kuno orang kayan hampir mirip dengan ciri-ciri adat dan kepercayaan hindu yang mengamalkan sistem kasta dalam masyarakat mereka.


BEGINILAH RUPA RUMAH PANJANG TRADISI

Bertempat di Batang Sungai Kayan, terdapat sebuah perkampungan kaum Kayan bernama Kampong Uma Ujung Wei. Kampong tersebut adalah sebuah kampung yang sangat terkenal kerana dipimpin oleh seorang maren uma(bangsawan) yang sangat dihormati di kampong tersebut serta mempunyai rakyat jelata  yang ramai. Maren uma tersebut bernama Lakeg Jelivan sementara isterinya pula bernama Doh Ayac Bua. Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Livan yang sangat cantik rupa parasnya. Ibubapa Livan sangat menyayanginya kerana dia satu-satunya anak mereka.

Gambar Hiasan
Namun demikian, apabila Livan meningkat dewasa, dia telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemuda yang bernama Huwang Jalong, iaitu seorang yang berketurunan panyin (kasta rendah atau orang kebanyakan)dengan senyap-senyap tanpa pengetahuan ibubapanya. Apabila perhubungan mereka sampai ke pengetahuan ibubapa Livan, mereka telah membantah dengan keras hubungan tersebut. Mereka dua suami isteri tidak bersetuju Livan menjalinkan hubungan dengan orang kebanyakkan. Apa yang diinginkan oleh mereka suami isteri ialah bakal suami Livan mestilah orang yang berketurunan maren sama seperti mereka.

Namun begitu, Livan dan Huwang sudah terlanjur dalam perhubungan mereka, maka mereka bercadang juga untuk berkahwin tetapi rancangan mereka itu ditentang keras oleh ibu Livan kerana dia tidak mahu bermenantukan orang panyin. Mengikut adat kuno orang Kayan, bakal suami Livan itulah yang akan mengambil-alih sebagai maren uma yang baru daripada bapa Livan suatu hari nanti. Hasrat untuk memenuhi tatacara dan susunan waris tersebut tidak kelihatan seperti yang diharapkan kerana bakal suami Livan adalah dari orang keturunan panyin. Oleh sebab itulah mereka tidak mahu Livan berkahwin dengan orang sembarangan.

Gambar Hiasan
Livan memujuk ibunya supaya menerima Huwang dengan seadanya tetapi ibunya tetap juga berkeras tidak mahu bermenantukan panyin yang berdarjat rendah.  Oleh kerana rancangan Huwang untuk mengawini  Livan gagal serta dipandang hina oleh orang tua Livan, maka dia pun merancang untuk membalas dendam.

Pada suatu hari, Huwang pun mengambil seekor anak ikan haruan. Menjelang tengah malam, pergilah dia ngedoh (tidur bersama)Livan seperti lazimnya. Sedang dia mengadakan hubungan dengan Livan pada malam tersebut, Huwang pun mengambil anak ikan haruan itu lalu memasukkannya ke dalam faraj Livan tanpa disedari oleh Livan. Semenjak itu, dia tidak pernah tidur dan berjumpa dengan Livan lagi.

Ibu Livan yang perasan akan keadaan tersebut merasa lega kerana hasratnya telah berjaya memisahkan Livan dan Huwang. Tetapi tidak berapa lama lepas itu Livan pun jatuh sakit sehingga membawa kepada kematiannya. Mayatnya telah diletak  dalam keranda dan disimpan dianjung rumah selama 16 hari menurut adat kuno keturunan maren. Para lelaki pula sibuk menyiapkan kubur dan ukiran salong(keranda) buat Livan.

Salong - (Kubur)
Pada suatu hari, bersandarlah ibu Livan pada keranda anaknya itu. Sedang dia menyandarkan tubuhnya pada keranda tersebut, tiba-tiba kedengaran dari dalam keranda tersebut satu bunyi benda yang bergerak-gerak. Mendengar bunyi itu, dia pun menyuruh orang suruhannya membuka keranda tersebut. Sebaik sahaja keranda itu terbuka, alangkah terkejutnya dia kerana terdapat seekor ikan haruan yang besar di dalam keranda anaknya itu. Ibu Livan yang melihat ikan haruan itu terus mengambil ikan tersebut dan menyuruh mereka memasaknya dan ikan tersebut dikerat kecil-kecil supaya semua orang dapat merasai ikan tersebut. Helahnya mengerat ikan tersebut kepada cebisan kecil dan banyak demikian ialah bertujuan untuk memberi semua orang memakan ikan tersebut kerana helahnya ialah ingin mengetahui sesiapa yang tidak mahu memakan ikan tersebut, maka dialah yang melakukkan angkara tersebut terhadap anaknya itu.

Sebaik tiba masa tengah hari itu, lauk ikan haruan itupun dihidangkan kepada orang ramai yang balik dari kubur.  Orang ramai pun makan dengan lahapnya, kecuali Huwang seorang yang langsung tidak mahu menyentuh lauk tersebut. Semua gerak-gerinya itu diperhatikan oleh ibu Livan dan tahulah dia bahwa kematian anaknya Livan itu adalah angkara Huwang.  Berkatalah dia dalam hati kecilnya,

“Kenapa anak aku seorang sahaja yang meninggal. Biarlah kami semua mengikuti jejaknya.” Katanya.

Setelah itu, dia pun mengambil seekor tikus. Dihiasinya tikus tersebut dengan pakaian yang cantik-cantik lalu dilepaskannya di anjung rumah di situ.  Tikus yang dihiasi dengan pakaian cantik dan bergerak bebas di anjung rumah itu membuatkan orang ramai ketawa melihatnya. Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi guruh dan kilat sambung-menyambung serta dikuti oleh hujan batu. Selang beberapa saat setelah itu, seluruh kampung tersebut mula bertukar menjadi batu. Semua penduduk termasuk rumah dan hartanya sekali telah bertukar menjadi batu. Peristiwa tersebut dipanggil dengan nama “Uvaen Batog”. Untuk memperolehi cerita yang lebih comel dan menghiburkan, layari http://folkloreceritarakyat.lot.my  dan anda mempunyai banyak pilihan dan pasti mencuitkan hati anda.

No comments: