Friday, August 26, 2011

Hati Rossa Sudah Dimiliki


GUSAR hati kecil Rossa kala menerima kiriman laporan berita mengenai gosip terbaharu mengenai dirinya yang disiarkan dalam sebuah akhbar tabloid di Malaysia hujung minggu lalu.
Dia amat bersedih dengan laporan yang disifatkannya sangat tidak berasas kerana dakwaan yang dilemparkan benar-benar menjejaskan reputasi dan imejnya yang selama ini sangat dipelihara.

Kepada Kosmo!, Rossa meluahkan rasa terkilan pada gosip yang mengaitkan dirinya dalam kehidupan seorang lelaki bergelar VIP yang sudah berkeluarga.
“Kenapa wartawan itu tergamak menulis berita yang tidak berasas itu mengenai saya?” soalnya kepada penulis dalam satu pertemuan di kediaman baharunya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Ternyata, dia sangat bingung ketika menerima kiriman laporan berita itu yang disampaikan oleh teman karibnya di Kuala Lumpur.
“Apakah mereka mencemburui kerjaya saya di sana?” soalnya lagi dalam nada yang amat hiba meminta pengertian penulis.
Lebih menyedihkan Rossa ialah, dia bimbang gosip tidak benar itu akan menjejaskan nama baiknya di Malaysia yang sudah seperti rumah keduanya.
“Saya takut reputasi saya terjejas. Saya juga bimbang nanti isteri-isteri orang ternama (VIP) di Malaysia takut untuk mengundang saya lagi mengadakan persembahan di sana,” luah Rossa lagi.
Kata Rossa, bukan dia tidak boleh menerima hakikat bahawa kehidupan peribadinya sering diintai oleh masyarakat dan media.
Bahkan, tegasnya lagi, bukan sehari dua dia menjadi artis. Sudah lebih sedekad dan dia sedia maklum itulah harga yang harus dibayar apabila dia memilih untuk menjadi orang ternama dan sering dipuja peminat.
Namun, gosip kali ini yang disiarkan di media Malaysia bagaikan satu tamparan buatnya kerana dia tidak pernah menyangka rakan-rakan media di negara jiran yang sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya tergamak menulis perkara yang tidak benar.
“Saya tidak marah kalau wartawan mahu menulis gosip mengenai saya. Tetapi, biarlah gosip itu berasas dan ada faktanya, bukan menulis perkara yang tidak benar,” kata Rossa menyambung perbualan.
Dari kaca matanya, penulis dapat menelah bahawa ada sebab untuk Rossa sangat bimbang dan resah dengan tulisan mengenai ‘skandalnya dengan suami orang’.
Ia kerana, wanita yang berstatus ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Rizky Langit Ramadhan ini sedang menganyam buih-buih cinta dengan seseorang.
Sepanjang berbual dengannya, Rossa penulis perhatikan ralit membalas kiriman mesej di telefon bimbit Blackberrynya. Setiap kali menerima kiriman mesej BBM itu, wajahnya ceria dan senyuman yang diukirnya pula sangat manis.
“Apa kamu sedang bahagia dengan teman lelaki kamu?” soal penulis kepadanya.
Dia hanya tersenyum. Mahu mengelak sudah tidak mampu lagi kerana mengenali wanita ini, dia sangat sukar untuk bercakap bohong apa lagi kepada rakan-rakan wartawan dari Malaysia yang sangat disenanginya.
“Saya sangat bahagia. Saya juga sangat senang kerana saya mempunyai seseorang dalam hidup yang sentiasa memberikan kebahagiaan pada saya. Kerana itu, saya risau apabila berita yang tidak benar dilaporkan di media. Saya memohon ruang untuk mengisi hari-hari bahagia dengan orang yang sedang saya dampingi,” ujar Rossa lagi.
Enggan berkongsi panjang lebar mengenai kekasih baharunya, memadai kata Rossa, dia mengesahkan sangat menyenangi pria yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini.
Justeru, pada masa ini Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani yang kini berusia 33 tahun mahu memberikan perhatian terhadap kehidupannya yang sangat menyenangkannya.
Selain fokus pada kerjaya seni, Rossa juga mahu memastikan masa depan anaknya, Rizky yang berusia lima tahun terjamin dengan membekalkan anak tunggalnya hasil daripada perkongsian dengan bekas suami, Yoyo (pemain drum kumpulan Padi) pendidikan yang berkualiti.
“Apa yang Allah berikan kepada saya amat saya syukuri. Tidak pernah terhenti doa saya kepada Allah kerana Dia amat mengasihi saya,” ujar Rossa yang sering mengingatkan dirinya agar sentiasa berkongsi rezeki dan nikmat yang Allah berikan dengan orang-orang di sekeliling terutama ahli keluarganya.
Sementara itu, berkongsi kisah Aidilfitrinya, Rossa yang sudah pulang ke kampungnya di Sumedang memberitahu dia telah mengambil cuti selama seminggu untuk meraikan hari bahagia itu bersama keluarga tercinta.
Ujarnya sedar tak sedar sudah setahun dia tidak balik ke kampung halamannya.
“Kali terakhir saya pulang ke Sumedang lebaran tahun lalu. Ya ampun, saya rasa bersalah pada keluarga saya,” katanya yang mahu menghabiskan masa kualiti idengan keluarganya.
Eksklusif di kediaman baharu Rossa
Kehadiran penulis di kediaman baharu Rossa di Pejaten, Jakarta baru-baru ini diterima Rossa dengan tangan terbuka. Kediaman dua tingkat yang menerima sentuhan hiasan dalaman berkonsepkan moden kontemporari itu sangat tenang dan mendamaikan.
Kata Rossa, kediaman itu baru saja didudukinya (sebulan sebelum Ramadan).
“Kamu (penulis) wartawan pertama yang saya undang untuk rakamkan foto saya di rumah baharu ini,” katanya menyambut salam terima kasih penulis sebaik memasuki rumah beliau itu.
Semua mengenai hiasan dalam kediaman itu dilakukan sendiri oleh Rossa mengikut citarasanya sendiri. Daripada pemilihan perabot sehinggalah warna cat, lampu dan sebagainya dilakukan Rossa dengan berpandukan buku-buku hiasan dalaman.
Cinta Rossa pada hiasan dalam sangat tinggi kerana itu dia mengambil masa yang agak lama untuk menetap di rumah itu kerana mahu memastikan susun atur rumah baharunya itu menyenangkan matanya dan mendamaikan jiwanya.
Kepada anda yang mungkin tidak tahu, Rossa sebenarnya merupakan seorang artis yang amat gemar membeli aset khususnya rumah kerana dia menyedari kediaman merupakan aset yang amat bernilai dan merupakan pelaburan yang sangat bijaksana.
Daripada apa yang penulis dimaklumkan, penyanyi ini sudah memiliki beberapa unit apartmen yang dibelinya khusus untuk disewakan. Itu belum termasuk sebuah lot banglo eksklusif dan mewah khusus untuk pelancong yang inginkan menenangkan fikiran di sana.
Semua yang dilakukan Rossa merupakan bekalan beliau pada masa depan seandainya dia memilih untuk bersara apabila sampai masanya kelak.
Source : Kosmo.com

EmpireMoney.com

No comments: