Monday, October 3, 2011

Ekin Dah 4 Bulan

PENGALAMAN yang paling indah buat seorang wanita apabila dia sah bergelar isteri seterusnya merasai nikmatnya membawa bayi dalam kandungannya.

Norashikin Rahmat atau Ekin isteri kepada juara program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Mawi nyata sangat mendapat perhatian keluarganya apabila disahkan hamil kali ketiga. 

Setelah mengalami keguguran dua kali berturut-turut, Ekin dan Mawi tidak mahu terlalu berharap kerana takut akan kecewa seperti sebelum ini. 

Ekin berehat selama tiga bulan di kampung halamannya di Johor Bahru bagi mengelakkan perkara buruk berlaku sekali lagi.
“Usia kandungan saya sekarang ini empat bulan dua minggu. Alhamdulillah, setakat ini ia dalam keadaan baik dan saya berharap tidak akan ada lagi insiden yang berlaku seperti yang lalu.
“Saya juga sangat bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan mengambil berat keadaan saya. Walaupun usia kandungan saya sudah masuk lima bulan, saya masih mendapat layanan istimewa daripada mereka. 

“Agak sukar juga pada tiga bulan pertama kandungan saya kerana terpaksa mengambil suntikan bagi menguatkan rahim dan mengambil makanan tambahan sebagai penjagaan bayi dalam kandungan saya,” katanya yang hadir bersama Mawi ketika rakaman Gempak Astro, baru-baru ini. 

Ekin yang mengalami keguguran pertama dan kedua ketika usia kandungan belum mencapai sebulan, dinasihatkan doktor agar tidak banyak bergerak dan mengambil makanan yang panas. 

Justeru, ibu Ekin mengambil keputusan untuk menjaganya sehingga kandungan Ekin benar-benar kuat. 

Sepanjang bulan pertama di rumah ibunya, Ekin tidak dibenarkan berbuat apa-apa. Walaupun agak bosan kerana dia hanya duduk berehat tanpa berbuat apa-apa, dia terpaksa melakukannya kerana mahu menjaga kandungannya. 

“Walaupun saya sudah berada di sini (Kuala Lumpur) namun ibu dan ahli keluarga juga masih mahu menjaga saya. 

“Maklumlah, saya ini bila berjalan laju macam ‘ribut’. Mereka selalu mengingatkan saya bahawa saya berbadan dua. Seronok juga dilayan begini. 

“Saya juga rasa sangat bertuah kerana tidak mengalami alahan atau mengidam yang pelik. Selalunya bila alahan tidak berlaku pada isteri pasti lelaki yang mengalaminya tetapi Mawi juga makan seperti biasa. Tidak ada yang berubah. 

“Cuma saya mengidamkan makanan yang memang tiap hari saya makan dan satu-satunya perkara yang berubah saya makan dua kali ganda lebih banyak daripada yang selalu. 

“Insya-Allah, mak saya akan menjaga saya sehingga bersalin. Saya juga tidak lagi mengikut Mawi ke tempat undangan menyanyi seperti sebelum ini. Saya perlu memberikan perhatian kepada kandungan saya,” katanya. 

Secara berseloroh Ekin yang kelihatan ceria berkata, Mawi mungkin tidak pandai menunjukkan emosi pada wajahnya namun Ekin menggambarkan Mawi sebagai seorang yang sangat mengambil berat kerana dia akan mengingatkan Ekin supaya berhati-hati ketika menuruni tangga dan agar tidak berjalan terlalu cepat. 

Kedua-dua mereka tidak kisah sama ada mendapat anak lelaki ataupun perempuan kerana apa yang lebih penting bayi itu sihat dan sempurna. 

Bagaimanapun, mungkin sesetengah ibu bapa tidak akan menjalankan ‘scan’ bagi mengetahui jantina bayi namun bagi Ekin, dia tidak sukakan kejutan dan akan melakukan perkara itu bagi. 

Agak lama menyepi, Mawi sedang mengumpul material baru untuk album seterusnya. Walaupun tidak mempunyai sebarang naskhah baru tetapi Mawi masih terus berkarya dengan memenuhi jemputan yang diterima. 

Bakal tampil dengan single genre pop-rock, dia sudah mendengar demo yang diberikan oleh seorang komposer baru untuk single terbarunya. Namun, Mawi sendiri yang akan menulis ‘cerita’ bagi lagu itu. 

“Saya masih dalam perancangan untuk menghasilkan single lagu, apa yang saya boleh katakan pada peringkat ini melodi yang sudah saya dengar itu bersifar ‘easy listening’ dan boleh membuatkan pendengar menggerakkan tubuh,” katanya.


Source : hmetro.com

No comments: